Tuesday, October 17, 2006

Kemahiran keibubapaan panduan didik cahaya mata

Oleh Nazilah Mohamad
sumber:http://wadahwanita.blogspot.com

AIMAN, 3, mula melakukan pelbagai perkara yang menggugat kesabaran ibu bapanya sebaik kelahiran adiknya.
Jika dulu, ibu menegur atau memarahinya hanya dengan perkataan, nasihat dan belaian. Kini, ada kalanya teguran
secara fizikal mula diterimanya. Pada mata ibu bapa perubahan itu tidak menggambarkan berkurangnya
kasih sayang. Namun, di hati Aiman yang masih kecil, tetap memberi kesan yang tidak mudah dilupakan.
Apa yang diterima Aiman hari ini dan mungkin beberapa tahun berikutnya boleh memberi kesan besar, tanpa disedari oleh ibu bapanya. Contohnya, seorang murid saya berumur lapan tahun diketuk jarinya dengan pen kerana tidak menyiapkan kerja sekolah, berkata:

“Cikgu, di rumah, ayah saya pukul dengan tali pinggang.” Tentulah saya tidak akan menggunakan tali pinggang untuk membolehkannya membuat kerja. Namun, sebagai guru, saya mesti mencari cara terbaik untuk mengatasi masalah ini. Pada masa sama membantunya berdisiplin bukan melalui kekerasan.Nabi Muhammad saw mendidik seseorang pada zamannya dengan banyak mengguna dan mengutamakan pendekatan lemah lembut dan penuh dengan kasih-sayang.

Antara langkah atau tahap mengajar, sebelum memukul adalah:

· Beritahu dan sebutkan secara terus terang perkara yang dibuat itu salah.
· Tunjukkan cara yang betul.
· Memujuk dengan cara lemah lembut dan berhikmah atau kreatif.
· Menggunakan isyarat.
· Mencela keburukan perangai (bukan kekurangan diri untuk tujuan menghina dirinya).
· Memulau atau tidak mempedulikannya dalam jangka waktu tertentu
.Pilihan terakhir adalah memukul atau merotan. Tindakan ini diambil selepas kaedah di atas tidak berkesan. Menghukum dengan memukul atau merotan mesti menggunakan kaedah atau cara pukul yang diizinkan dalam Islam.

Antara kaedah memukul yang diizinkan oleh Islam adalah:
· Memukul atau merotan hanya dibenarkan kepada anak yang berumur 10 tahun ke atas. Sabda Rasulullah bermaksud: “Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah jika mereka enggan apabila berumur 10 tahun.” Ada tempat yang haram dipukul, umpamanya muka dan pula bahagian yang sensitif dan boleh mencederakan seseorang.

· Guru atau ibu bapa membetulkan niat memukul semata-mata untuk mendidik dan membetulkan keadaan atau sifat tercela, bukan untuk mendera atau melepaskan perasaan geram dan marah.
· Jika dalam keadaan marah dan panas, ambil langkah untuk meredakan perasaan marah dulu, dengan mengubah posisi diri. Contohnya, bagi yang sedang berdiri hendaklah duduk dulu atau yang sedang duduk perlu berdiri atau baring. Atau keluar dari bilik atau bilik darjah sebentar. Ambil wuduk, solat sunat, kemudian baru pukul dengan membaca doa dan selawat (untuk kesejahteraan anak) dan memukul dengan nama Allah. Pakar psikiatri dari Hospital Kota Bharu, Kelantan, Dr Khairi Che Mat dalam kajian fisiologi rangsangan saraf ke otak menunjukkan bahawa keputusan dan tindakan ketika marah adalah tidak rasional. Selalunya adalah sembrono dan lebih memudaratkan perasaan dan mental anak-anak.
· Jangan sekali-kali meninggalkan konsep ‘mendidik’. Pesan Rasulullah: “Hendaklah kamu mengajarkan mereka dan jangan berkeras. Sesungguhnya orang yang mengajar itu lebih baik daripada orang yang berkeras.”Dr Khairi juga menasihatkan agar ibu bapa/guru supaya memberikan maklum balas kepada setiap perbuatan anak sama ada betul atau salah.Jika perbuatan mereka betul, berikan dia ‘pengukuhan positif’ dalam bentuk pujian atau ganjaran. Jika salah, berikan ‘pengukuhan negatif’, seperti teguran atau hukuman. Jangan sampai, anak kita kata, ‘apa yang saya buat selama ini, semuanya salah’. Sebelum ini kita tidak pernah iktiraf atau memberi perakuan terhadap perbuatannya yang betul. Sebaliknya, kita hanya menegurnya jika perbuatannya salah. Jika keadaan ini (hanya menegur ketika salah laku) berterusan, anak-anak akan suka membuat perbuatan salah.Merotan walaupun cara terakhir dalam mendisiplinkan pelajar, kesan negatifnya pasti ada. Hampir semua ibu bapa akan malu, tercabar, geram atau marah apabila anak dihukum dan diperkatakan di hadapan orang lain. Ibu bapa, yang paling hampir dengan anak. Oleh itu, kitalah orang pertama yang perlu berasa bersalah. Bagaimanapun, tanggungjawab mencorak masa depan anak memang tidak terletak di tangan ibu bapa semata-mata. Pengaruh luar sama ada positif atau negatif tetap memainkan peranan besar. Ada antaranya tidak dapat ditangani, lalu memberi kesan buruk berpanjangan dalam kehidupan. Biar apapun alasannya, orang dewasa yang sebenarnya lebih banyak menentukan sama ada anak itu hanya perlu dibelai atau mesti dipukul bagi memenuhi tanggungjawab atau mendisiplinkannya.Jika diberi pilihan, pasti tiada ibu bapa normal, ingin memukul anaknya, apatah lagi membenarkan orang lain melakukannya. Faktor ‘kecerdikan emosi’ ibu bapa dan pendidik perlu diasah selalu:
· Fitrah manusia berasa perlu dilindungi dan dikasihi untuk ketenangan akal fikiran dan jiwa. Demikian juga anak-anak, mereka memerlukan keprihatinan orang dewasa dalam setiap kegiatan kehidupan. Oleh itu, ibu bapa atau guru perlu mengemas kini pengetahuan dalam mendidik dan memanfaatkan bidang ilmu terkini dalam pendidikan anak.
· Anak-anak perlukan peribadi contoh atau ‘role model’ untuk diikuti. Ibu bapa adalah peribadi terhampir dengan mereka, yang boleh menampakkan usaha, kesusahan dan pencapaian kepada anak. Pada masa sama datangkan padanya model terunggul untuk diikuti iaitu Rasulullah. Sampaikan kisah kehidupan Baginda yang telah diterima Timur dan Barat sebagai pemimpin, suami, bapa dan datuk terbaik.Bagindalah yang membentuk dan membelai cucunya, Hassan dan Hussin hingga terpahat menjadi teladan, sesuai dengan sabda Baginda bermaksud: “Hendaklah engkau berlaku lemah-lembut dan jauhkanlah daripada berkasar dan berkeras (perkataan dan perbuatan).”
· Menghormati keperluan, kehendak dan perasaan anak adalah satu tanggungjawab. Namun, setiap kita mesti tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak. Keperluan mesti dipenuhi, namun kehendak tiada batasnya kerana ‘kehendak’ lebih berasaskan kepada nafsu. Kehendak dan kerenah perlu diubah suai supaya boleh menjadi bimbingan.
· Ibu bapa hendaklah menerima anak-anak seadanya tanpa syarat, dengan segala kebaikan dan keburukannya, kebolehan dan kekurangannya. Ibu bapa juga mesti belajar menerima dan mengiktiraf perasaan dan pandangan anak walaupun ia bercanggah dengan pandangan mereka.Jangan sekali terlalai untuk memberi pujian dan menghargai perlakuan baik anak kerana itu akan menjadi insentif nombor satu dan ingatan bermakna, meskipun tanpa hadiah yang dinilai dengan wang ringgit.
· Pasti ada kalanya anak melakukan kesilapan. Ambillah kesilapan sebagai pengajaran dan permulaan menuju kejayaan. Sentiasa ingatkan diri bahawa Islam tidak menggalakkan kekerasan. Dalam mendidik atau menasihati anak, ibu bapa disuruh menggunakan cara yang lembut dan ringan terlebih dulu dan beransur-ansur bertukar kepada yang lebih berat sekiranya tiada perubahan. Perlu diingat bahawa ibu bapa adalah orang yang paling tahan ujian, sabar dan bertawakal kepada Allah ketika mendidik, apatah apabila mengalami kegagalan dalam membentuk anak yang diharap-harapkan.
· Memahami perkembangan emosi anak. Anak-anak menunjukkan pelbagai ragam yang sebahagiannya menggugat kesabaran. Emosi negatif anak mesti ditangani dan dibelai dengan ilmu. Usaha berterusan perlu untuk menjauhkan mereka daripada terus terbawa-bawa tingkah laku demikian hingga besar dan mempengaruhi sikap mereka. Kepincangan dalam perkembangan emosi boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan, terutama dari segi mental.Apabila mental mereka terjejas, punahlah harapan ibu bapa untuk menatang anak cergas yang berjaya.
· PENULIS ialah guru dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan sebarang jawapan permasalahan boleh layari wanitajimceria.blogspot.com

No comments: